Jumat, 26 September 2008

muhasabah ramadhan

Minggu ini merupakan minggu terakhir kita berada di bulan Ramadhan Al-Mubarak, satu bulan yang merupakan anugerah Allah s.w.t kepada Umat Islam bagi memberikan peluang kepada kita merebut kebaikan dan kebajikan yang diberikan oleh-Nya dalam bulan ini. Ramadhan sudah pasti akan meninggalkan kita dan perpisahan ini perlulah disertai dengan akhir yang baik. Perpisahan ini juga akan meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.

Sebulan kita dilatih dan dididik dalam Madrasah Ramadhan agar sensitif dengan Allah s.w.t dan perintah-Nya, sensitif dengan urusan kehidupan, peka dengan masalah manusia sekeliling serta peka terhadap segala-galanya di dunia ini. Madrasah Ramadhan juga telah mendidik kita agar terus berkeyakinan, sabar, thabat, istiqamah dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

Allah s.w.t dan Rasul-Nya telah menerangkan kepada bahawa berpuasa itu akan membuatkan Umat Islam bertambah takwa dan dengan sifat Takwa tersebutlah akan dapat menjadikan kehidupan anda lebih tersusun dan lancar sebagaimana yang dimaksudkan di dalam Surah Al-Tholaq ayat 2-3.

Sebuah hadis yang bermaksud : “Jibril telah datang kepada aku dan ia berkata : “Wahai Muhammad, sesiapa yang bertemu dengan Ramadhan namun setelah bulan itu berlalu, dia tidak dapat keampunan Allah dan jika dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka. Semoga Allah menjauhkanya, katakanlah wahai Muhammad, Amin! Maka aku pun berkata Amin!”

Hadis di atas telah menjelaskan kepada kita agar berusaha bersungguh-sungguh untuk memanfaatkan bulan Ramadhan ini demi mencapai keredaan dan rahmat Allah s.w.t.

Imam Ghazali ada berkata : “Antara usaha untuk memastikan amalan kita diterima ialah dengan merasa ‘Khuatir’ amalan kita tidak diterima Allah s.w.t.” - Ihya Ulumuddin

Kita masih lagi mempunyai baki Ramadhan yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya, rebutlah peluang yang berbaki tersebut untuk melaksankan ibadah agar lebih baik dan mampu untuk menghapuskan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Janganlah kita dilalaikan oleh kesibukkan menghadapi hari raya sehingga kita mengabaikan baki masa yang ada dan melepaskan masa yang terlebih baik untuk beribadah iaitu akhir Ramadhan ini.

Ibn Rejab berkata : “Sebaik-baik puasa Ramadhan diakhiri dengan istighfar kerana istighfar merupakan penutup bagi segala kebajikan.”

Ajal dan maut tidak diketahui datangnya dan kita tidak mengetahui apakah kita akan bertemu dengan Ramadhan yang akan mendatang. (kutipan)

Tidak ada komentar:

always keep your smile

always keep your smile
view kantor pos besar Jogja